Abu Said al-Khudri r.a menerangkan bahawasanya segolongan sahabat dari
golongan Ansar meminta pemberian daripada Rasulullah lalu baginda
memberikannya kepada mereka itu. Kemudian mereka meminta lagi kepada
Rasulullah lalu baginda memberikannya pula sehingga habis apa yang ada
padanya. Maka bersabdalah nabi: “Harta yang ada pada ku tidaklah
sekali-kali aku menyimpannya untuk orang yang lain daripada mu. Sesiapa
yang memelihara diri dari meminta-minta nescaya Allah memeliharanya
daripada yang haram. Dan sesiapa yang memohon kepada Allah, nescaya
Allah memberikan kecukupan kepadanya. Dan sesiapa bersabar menahan
penderitaan, nescaya Allah memberikan kepadanya kesabaran. Dan tidak
diberikan kepada seseorang sesuatu pemberian yang lebih baik dan luas
daripada ‘kesabaran’.”
(al-Bukhari dan Muslim)
Huraian
Islam amat menganjurkan agar kita bersabar dalam menghadapi kesempitan
hidup. Jangan membiasakan diri dengan meminta-minta daripada orang lain
tanpa berusaha dan berikhtiar dengan jalan yang halal kerana
sesungguhnya orang yang gigih berusaha dalam mencari rezeki demi
meneruskan kehidupannya di dunia ini dan bersabar dalam menanggung
kesusahan nescaya akan dikurniakan Allah rezeki yang banyak.
No comments:
Post a Comment